Rumah api di puncak Bukit Malawati antara tinggalan sejarah yang terdapat di lokasi berkenaan. Foto Tourism Selangor
AGENSISELANGOR

Jaga kebersihan Bukit Malawati, bawa pulang sampah

SHAH ALAM, 28 NOV: Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) meminta pengunjung Bukit Malawati membawa pulang sampah bagi memastikan kebersihan pusat pelancongan itu sentiasa terjaga.

Rahilah Rahmat berkata anggota penguatkuasa MPKS sering membuat rondaan secara berkala di kawasan itu dan hanya memberi teguran secara lisan kepada pengunjung sekiranya terlupa membawa balik sampah, lapor portal Harian Metro.

“Ini melibatkan kesedaran sosial dalam kalangan masyarakat. Disebabkan itu, kita minta mereka supaya bawa pulang sampah masing-masing. Di sini (Bukit Malawati) semua sedia maklum haiwan seperti lotong mendiami tempat pelancongan ini.

“Walaupun kita buang sampah ke dalam tong sampah, spesis ini ‘kreatif’ dengan membuka semula tong dan menyepahkannya,” katanya.

Rahilah berkata demikian pada sidang media selepas program tanam pokok anjuran bersama MPKS, Enquest Petroleum Development Malaysia dan Malaysia Nature Society (MNS) di Taman Alam Kuala Selangor, dekat sini.

Sehubungan itu katanya, kontraktor pembersihan yang dilantik akan menguruskan kerja pembersihan termasuk mengutip sampah di Bukit Malawati.


Pengarang :