Ir Izham Hashim menyerahkan dron untuk kegunaan petani ketika lawatan ke Koperasi Wawasan Tani Simpang Lima Sungai Besar Berhad, Parit 15, Sungai Besar, Sabak Bernam pada 9 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jalin kerjasama swasta tingkat hasil padi, pendapatan pesawah

SHAH ALAM, 30 NOV: Program Smart Sawah berskala besar diperkenal sebagai strategi meningkatkan hasil keluaran padi di negeri ini.

EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim berkata pengurusan tanaman padi melalui program itu dibuat dengan penglibatan pihak swasta bersama pesawah.

Usaha lain, katanya, Kerajaan Negeri menggalakkan penggunaan variati yang seragam dan kawalan perosak secara bersepadu bersama kelompok petani.

“Kita juga menyelaras penjadualan tanaman secara seragam dan menggalakkan pesawah untuk menuai padi tepat pada masanya sekali gus menambah pendapatan,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Sungai Panjang Dato’ Mohd Imran Tamrin berhubung perancangan Selangor untuk menambah pengeluaran tanaman itu di negeri ini.

Mengulas bentuk bantuan kepada pesawah terkesan dengan serangan penyakit dan makhluk perosak padi, Ir Izham berkata peruntukan disediakan melalui dana penyelenggaraan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

Sementara itu, beliau berkata kerja menaik taraf sistem pengairan seperti parit dan palong air dilakukan IADA Barat Laut Selangor secara berperingkat.

“Ia dilakukan secara berperingkat mengikut peruntukan diluluskan pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan,” katanya lagi.


Pengarang :