Umat Islam menjaga jarak fizikal ketika mengerjakan umrah di Masjidil Haram pada 3 Oktober 2020 setelah pihak berkuasa Arab Saudi melonggarkan sekatan susulan Covid-19 di kota suci Mekah, Arab Saudi. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Jemaah umrah boleh dapatkan visa melalui aplikasi telefon

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan kebenaran bagi jemaah dari luar Arab Saudi untuk mendapatkan visa melalui aplikasi telefon “Eatmarna” dan “Tawakkalna”.

Menurut Twitter rasmi kementerian itu, jemaah juga boleh mendapatkan kebenaran untuk menunaikan solat di Masjidil Haram dan menziarahi Masjid Nabawi melalui kedua-dua aplikasi berkenaan, selepas mendaftar melalui platform “Quddum” sebaik tiba di Arab Saudi.

“Bagi mempermudah urusan tetamu al-Rahman, kini jemaah dari luar Arab Saudi boleh mendapatkan visa umrah menerusi aplikasi “Eatmarna” dan “Tawakkalna” yang disediakan pada platform Google Play, App Store, App Gallery, Galaxy Store”,” menurut kementerian itu.

Agensi Berita Arab Saudi (SPA) yang memetik kementerian menyatakan kebenaran ini bagaimanapun terhad kepada jemaah yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 yang diiktiraf kerajaan Arab Saudi, selain mereka yang mendapat pengecualian seperti tertera pada aplikasi “Tawakkalna”.

Sementara itu, bagi pemegang visa umrah yang belum lengkap dua dos vaksin pula diminta untuk segera mendapatkan suntikan dos kedua dalam masa 48 jam di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) di negara berkenaan.

Syarat-syarat ini ditetapkan demi memelihara kesihatan jemaah seperti mana ditetapkan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

-BERNAMA


Pengarang :