Petugas barisan hadapan mendapat suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 ketika tinjauan di Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jemaah umrah perlu tunggu giliran dapat dos penggalak

SHAH ALAM, 2 NOV: Jemaah umrah yang mendapat tarikh penerbangan ke tanah suci perlu menunggu giliran bagi menerima dos penggalak vaksin, kata timbalan menteri kesihatan 1.

Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menjelaskan keutamaan diberikan kepada petugas barisan hadapan, warga emas dan individu yang menghadapi masalah kesihatan atau komorbid, lapor Berita Harian.

“Dos penggalak ini, sekarang kita buka untuk petugas hadapan, mereka yang ada komorbid, berusia 60 tahun ke atas yang ada masalah dan yang berdepan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata individu yang menerima vaksin Sinovac akan mendapat dos penggalak selepas tiga bulan bagi memenuhi syarat menunaikan umrah.

“Sekarang sudah dibenarkan dos campuran, Pfizer, Pfizer dan Sinovac atau Sinovac dan Pfizer. Macam di Arab Saudi, mereka masih mengekalkan hanya Pfizer, AstraZeneca, Johnson & Johnson dan Moderna,” kata Dr Noor Azmi.

Pada Julai, kerajaan Arab Saudi mengumumkan hanya penerima empat jenis dos vaksin dibenarkan memasuki tanah suci bagi menunaikan ibadah haji dan umrah.

Bagaimanapun, pada Ogos, negara itu membenarkan kemasukan penerima vaksin Sinovac dan Sinopharm dengan syarat mendapatkan dos penggalak Pfizer, Astra Zeneca, Moderna atau Johnson&Johnson.

 


Pengarang :