Pelanggan mendapatkan aneka barangan pada program jualan segar dari ladang PKPS Prihatin di Pangsapuri Rimba Jaya, Shah Alam pada 30 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan mega PKPS tawar harga sayur murah hingga 50 peratus

SHAH ALAM, 25 NOV: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan melancarkan kempen jualan mega jimat yang menawarkan harga sayur lebih murah sehingga 50 peratus berbanding pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata pak choy, sawi hijau, brokoli, cili merah, cili hijau, kangkung, bayam merah, terung, timun dan kacang buncis antara sayuran akan dijual pada program itu.

Beliau menjelaskan harga sayur pak choy yang dijual RM9 sekilogram (kg) di pasaran boleh dibeli pada harga RM3.50 manakala kacang buncis hanya RM6 berbanding RM15 di pasaran.

“Di PKPS kami mempunyai mekanisma kawalan harga sendiri memandangkan ladang kami iaitu Selangor Fruit Valley di Bestari Jaya turut mengeluarkan hasil sayuran sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Khairil berkata lokasi dan kaedah jualan akan dikongsi di Facebook serta Instagram PKPS selain pertanyaan menerusi talian 019 316 2400 pada waktu pejabat.

Menurutnya, sebagai peneraju Inisiatif Jaminan Bekalan Negeri, PKPS akan terus memikirkan kaedah membantu rakyat dalam suasana ekonomi tidak stabil selaras saranan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Jangan risau, Insya Allah PKPS ada,” katanya.

Selain kempen itu, jualan murah sayuran PKPS juga akan diperkenal menerusi aplikasi mypasarborong dalam masa terdekat.


Pengarang :