Timbalan Panglima Tentera Udara Leftenan Jeneral Datuk Asghar Khan Goriman Khan (dua, kanan) bersama pegawainya tiba di Hospital Seberang Jaya untuk mengetahui perkembangan dua anggotanya yang terlibat dalam nahas pesawat Hawk 108 di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterwoth yang terhempas malam 16 Nov 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Juruterbang maut, satu lagi cedera nahas pesawat pejuang TUDM

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut sementara seorang lagi cedera dalam nahas pesawat Hawk 108 di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterwoth, Pulau Pinang, malam semalam (16 Nov).

Markas Tentera Udara dalam satu kenyataan berkata Kapt Mohamad Affendi Bustamy meninggal dunia dalam nahas itu sementara Mejar Mohd Fareez Omar yang cedera berada dalam keadaan stabil dan kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

TUDM berkata nahas di Pangkalan Udara Butterworth, itu berlaku kira-kira 10.07 malam pada Selasa ketika kedua-dua juruterbang itu sedang menjalani latihan penerbangan malam.

“Kedua-dua juruterbang telah berkahwin dan keluarga telah dimaklumkan mengenai insiden tersebut dan TUDM akan memastikan urusan kebajikan keluarga mangsa diutamakan.

“Semua pihak diminta agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau sebarang berita yang tidak sahih. TUDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan insiden ini,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan tengah malam tadi.

Susulan itu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengarahkan TUDM menjalankan siasatan terperinci susulan insiden dan menyiasat punca kejadian membabitkan pesawat pejuang Hawk 108 yang berlaku malam tadi.

Beliau berkata insiden intu dimaklumkan kepadanya oleh Panglima TUDM Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad menerusi panggilan telefon.

“Takziah kepada keluarga anggota TUDM yang maut dan cedera…amat sedih dan dukacita terima berita ini. Saya difahamkan anggota yang cedera telah dibawa untuk rawatan segera,” kongsi beliau menerusi ciapan Twitter, tengah malam ini.

Beliau berkata Kementerian Pertahanan telah diarahkan untuk menyalurkan keperluan kepada kedua-dua anggota yang terbabit dalam insiden itu.

-BERNAMA

 

 


Pengarang :