Penduduk sekitar Klang menyukat suhu sebelum memulakan proses saringan Covid-19 di Taman Bayu Perdana pada 23 Disember 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kajian: Lebih 90 peratus responden faham, setuju SOP norma baharu

SHAH ALAM, 12 NOV: Kajian Impak Kempen Pembudayaan Norma Baharu oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mendapati lebih 90 peratus daripada kira-kira 12,000 responden memahami tatacara operasi piawai (SOP) norma baharu bagi mendepani pandemik Covid-19.

Ketua Penyelidik Kajian Impak Pembudayaan Norma Baharu Prof Dr Yarina Ahmad berkata rata-rata responden turut bersetuju SOP yang dilaksanakan oleh kerajaan bertepatan dalam mendepani wabak berkenaan.

Beliau berkata kajian ke atas responden daripada pelbagai latar belakang sosial serta ekonomi itu membabitkan kutipan data selama empat bulan bermula bulan Sept tahun lepas, dan kajian mendapati 94 peratus responden menyatakan kepatuhan terhadap pemakaian pelitup muka.

“Sebanyak 91 peratus didapati mematuhi arahan penjarakan fizikal, dan 90 peratus menggunakan cecair pembasmi kuman sebagai alternatif mencuci tangan sekiranya tiada air dan sabun,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengiktirafan Malaysia Book of Records: Kajian Pandemik Covid-19 Pertama Berkaitan Impak Pembudayaan Norma Baharu kepada UiTM hari ini.

Sementara itu Ketua Pengarah Nadma Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata Nadma diberi peranan bagi pengurusan norma baharu itu, dan pihaknya perlu mengkaji keberkesanan sistem pengurusan berkenaan menerusi kerjasama dengan UiTM.

“Sebab itulah kita bekerjasama dengan UiTM untuk memperoleh pendapat daripada rakyat dan orang awam, apa yang mereka rasakan dan ia bukan retorik. Mereka betul-betul amalkan SOP contohnya pemakaian pelitup muka dan cecair pembasmi kuman,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :