AGENDANASIONAL

Kanak-kanak tujuh tahun maut dilanggar van sekolah

SEPANG, 13 NOV: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut dilanggar van sekolah ketika melintas di hadapan kenderaan itu untuk memasuki rumah transit di Taman Seroja di sini, tengah hari semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira 12.10 tengah hari ketika pemandu van yang merupakan seorang wanita menghantar mangsa ke rumah transit sebelum ke Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

“Setelah menurunkan semua pelajar termasuk mangsa, pemandu van bergerak ke hadapan tanpa menyedari mangsa yang terakhir turun sedang melintas di hadapan van dan melanggarnya hingga cedera parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Beliau berkata pemandu wanita berusia 31 tahun sedang dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

Menerusi rakaman kamera liter tertutup yang tular, pemandu van yang menyedari kejadian itu segera memberhentikan kenderaannya dan meminta pertolongan daripada pemilik rumah transit.

Md Noor Aehwan berkata mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Nilai, Negeri Sembilan namun meninggal dunia ketika menerima rawatan dan mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

– BERNAMA


Pengarang :