EXCO Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman melawat gerai majikan terlibat pada Program Karnival Kerjaya Jelajah Selangor Bekerja 2021 Siri 6 di Dewan Jubli Perak pada 27 November 2021. Foto Mohd Khairuddin Othman
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Karnival kerjaya mega hanya di Shah Alam, tiada lagi jelajah

SHAH ALAM, 28 NOV: Kerajaan Negeri bercadang mewujudkan karnival kerjaya mega yang berpusat di Dewan Jubli Perak Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri mulai tahun depan.

EXCO Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman berkata kaedah itu lebih berkesan di samping rakyat dapat menumpu kepada satu lokasi sahaja.

“Kita jangka untuk melaksanakan karnival kerjaya mega dua kali setahun di sini sahaja selepas ini berbanding menganjurkan jelajah seperti sebelum ini.

“Tiada lagi jelajah kerana kita rasa kaedah ini lebih efektif dan orang awam tidak perlu pergi merata tempat sebaliknya dapat tumpu di sini sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan penutup Program Karnival Kerjaya Jelajah Selangor Bekerja 2021 Siri 6 di sini semalam.

Menurutnya, sebanyak 8,000 peluang pekerjaan ditawarkan pada siri jelajah terakhir itu membabitkan Perusahan Otomobil Nasional (Proton), DRB-HICOM, Parkson Corporation, Old Town Kopitiam, Nando’s Chickenland, Prudential dan BSN Takaful.

Beliau berkata sejak karnival itu bermula pada 23 Oktober sehingga siri kelima, seramai 1,891 peserta hadir ditemuduga dan 484 diterima bekerja.

“Manakala, 832 peserta layak untuk ditemuduga kali kedua…Kita harap pencari kerja dapat mengambil peluang untuk hadir dan terima pekerjaan ditawarkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata dengan adanya karnival itu pihaknya menyasarkan kadar pengangguran darpat dikurangkan daripada 4.4 peratus kepada 3.7 peratus pada tahun depan.

Lebih 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi lima siri jelajah tersebut yang diadakan di Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Hulu Langat dan Petaling.


Pengarang :