Petugas kesihatan Selvax memberi suntikan pelalian kepada penerima vaksin ketika Program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Klang pada 26 September 2021. Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
RENCANARENCANA

Kejayaan tangkis wabak Covid-19, Selangor perisai barisan depan

Tindakan Selangor bersiap sedia lebih awal bagi memerangi Covid-19 ditohmah sebagai cubaan memandai-mandai. Namun kata-kata sumbang ini terpaksa ditelan sendiri akhirnya apabila usaha Kerajaan Negeri mendapat pengiktirafan kerajaan persekutuan.

Walaupun pemberian vaksin agak perlahan pada mulanya, berkat kerjasama pentadbiran Shah Alam dan Putrajaya, Selangor merekodkan jumlah suntikan tertinggi pada Ogos.

Usaha Kerajaan Negeri meningkatkan jumlah pemberian vaksin menerusi Program Vaksin Selangor (Selvax) diiktiraf sebagai sebahagian Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Perkara itu diumum ketika mesyuarat Pelan Vaksinasi Lembah Klang Raya pada 16 Julai yang dipengerusikan Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin bersama Dato’ Menteri Besar.

“Ini adalah pengiktirafan terhadap peranan Selangor melalui Selvax dalam program PICK dan kerjasama ini melibatkan aspek bekalan vaksin serta pengiraan kapasiti dan data,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Selvax melibatkan pembelian 2.5 juta dos vaksin Covid-19 untuk diberi percuma kepada pekerja dan golongan berpendapatan rendah di negeri ini.

Ia dibuat bagi menampung program vaksinasi PICK untuk warga Selangor yang berjumlah lebih 6.5 juta orang atau kira-kira 20 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.

Sembilan hari selepas pengiktirafan pertama itu, Selangor sekali lagi menerima berita gembira apabila Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Chong Chee Kheong menyarankan penggunaan SELangkah, aplikasi penjejakan kontak yang dibangunkan Kerajaan Negeri.

“Bagi kes positif yang tidak bergejala, akan diarahkan untuk menjalani pengasingan di rumah selama 10 hari dan melaporkan diri secara dalam talian dengan menggunakan kit penilaian di rumah di aplikasi MySejahtera, e-Covid atau SELangkah,” katanya dalam kenyataan pada 24 Julai.

Sijil vaksin

Susulan itu, EXCO kesihatan awam menyifatkan kenyataan Dr Chong sebagai pengiktirafan terhadap SELangkah, dibangunkan hasil saranan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) sejak awal penubuhannya pada Mac 2020.

“Pengiktirafan ini sangat bermakna untuk Kerajaan Negeri meneruskan program inisiatif bagi melengkapi usaha kerajaan pusat dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sedang berusaha sehabis baik dalam mengurus dan menangani pandemik Covid-19,” kata Dr Siti Mariah Mahmud.

Kenyataan itu juga sekali gus menjawab kekeliruan berhubung usaha proaktif kerajaan Selangor yang sentiasa mendahului negeri lain dalam inisiatif membantu KKM membendung wabak.

Ketika diperkenalkan, SELangkah begitu mudah diterima ramai. Sebanyak 10,714,879 imbasan dibuat pengguna di 43,414 premis termasuk di luar Selangor yang berdaftar dengan sistem itu sehingga 31 Mei tahun lalu.

Namun kemudiannya kerajaan pusat mewajibkan orang ramai dan semua premis hanya boleh menggunakan MySejahtera. Namun Selangor tidak cepat putus asa, ia meningkatkan lagi kemudahan SELangkah.

Aplikasi SELangkah yang dibangunkan Kerajaan Negeri memudahkan orang ramai menyemak rekod berkaitan usaha menangani penyebaran Covid-19. Foto ARKIB SELANGORKINI

Aplikasi itu turut menyediakan kemudahan semakan keputusan Saringan Komuniti, program besar-besaran Kerajaan Negeri bagi mengesan pembawa virus Covid-19. Ia juga memudahkan penduduk mendaftar suntikan vaksin Selvax dan membayar bil serta saman agensi negeri.

Maklumat berkaitan bantuan kebajikan Kerajaan Negeri juga dimuatkan dalam aplikasi ini.
Pembaharuan berterusan SELangkah itu sekali lagi meraih perhatian apabila, pada 9 September, Khairy sebagai menteri kesihatan yang baharu bersetuju membenarkan pengguna menunjukkan sijil digital vaksinasi SELangkah.

Sijil digital dikeluarkan di SELangkah apabila seseorang itu menerima suntikan vaksin negeri. Maklumat ini mengambil masa beberapa hari sebelum dikemas kini dalam aplikasi nasional MySejahtera.

Sekali lagi, Dr Siti Mariah menyifatkan keputusan Putrajaya itu sebagai satu bentuk pengiktirafan kepada inisiatif vaksinasi kerajaan negeri.

“Kerajaan Negeri menyambut baik kenyataan menteri kesihatan dalam sidang media beliau yang bersetuju mengenai perkara berkenaan. Keputusan itu dilihat suatu bentuk pengiktirafan terhadap inisiatif yang dilaksanakan Selangor bagi melengkapi usaha kerajaan persekutuan memerangi Covid-19,” katanya.

Bukan hanya program vaksin atau SELangkah yang mendapat pengiktirafan persekutuan. Inisiatif Kerajaan Selangor menyediakan kit ujian penilaian kesihatan kepada pesakit turut dicontohi kerajaan persekutuan apabila perdana menteri mengumumkan pemberian Pakej Penjagaan Covid-19 pada 19 September.

Kit penilaian

Dato’ Menteri Besar berkata pengumuman Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu membuktikan usaha Kerajaan Negeri selama ini cukup berkesan untuk menangani wabak.

“Kerajaan Selangor menyambut baik pengumuman ini. Jun lalu sebagai mana dalam pakej Kita Selangor 2.0, Kerajaan Negeri menyediakan kit penilaian kesihatan khusus kepada kontak rapat dan keluarga yang positif.

“Kit ini mengandungi oximeter dan pelitup muka. Baru-baru ini, Kerajaan Negeri turut mengumumkan pemberian kit percuma ujian kendiri sampel air liur kepada 60,000 individu yang memerlukan di Selangor,” kata Amirudin.

Sejumlah RM1.25 juta diperuntuk Kerajaan Negeri bagi menyediakan kit penilaian untuk pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin di rumah. Kit ini mengandungi alat pengukur kandungan oksigen (oximeter), ubat-ubatan, pelitup muka dan jangka suhu.

Langkah-langkah yang diperkenal Kerajaan Selangor membuktikan negeri ini akhirnya berjaya menurunkan keluk kes wabak walaupun pernah mencatatkan lebih 8,000 kes sehari pada awal Ogos.

Kini, kes harian dalam negeri semakin menurun sejak pertengahan Ogos dan mencatat paras sekurangnya-kurangnya 1,000 kes sehari bermula Oktober.

Tegas Amirudin, penurunan kes Covid-19 di Selangor dicapai hasil pelaksanaan beberapa inisiatif termasuk pakej Kita Selangor 1.0 dan pakej Kita Selangor 2.0 selain dibantu kestabilan politik negeri.

Agak membimbangkan apabila sistem kesihatan di Selangor terjejas teruk sewaktu jangkitan mencecah antara 7,000 hingga 8,000 kes sehari namun kepaduan kerjasama semua pihak mampu mengekangnya.

“Ini membuktikan langkah pentadbiran negeri melakukan Saringan Komuniti, pemberian vaksin serta menetapkan beberapa peraturan mendatangkan hasil,” katanya lagi.

Kes menurun

Kerajaan Negeri sejak awal menyedari vaksin memang senjata ampuh melawan virus berbahaya ini. Usaha membeli vaksin dibuat sejak awal tahun ini bagi membantu mempercepatkan suntikan, sekali gus meningkatkan kekebalan sistem pertahanan badan penduduk.

Seperti PICK juga, Selangor menyediakan vaksin percuma untuk rakyat, antara sasarannya warga emas, orang kelainan upaya dan kumpulan berpendapatan rendah (B40).

Penerima Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) sedia ada seperti Skim Mesra Usia Emas, Kasih Ibu Smart Selangor dan Skim Peduli Sihat turut diberikan keutamaan.

Usaha itu membuahkan hasil pada 1 Ogos, Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan buat petugas kesihatan apabila jumlah suntikan vaksin di Selangor sudah melepasi sasaran 135,000 dos sehari.

Jumlah tersebut tidak termasuk suntikan dalam program Selvax yang ditaja Kerajaan Negeri dengan kadar 15,000 dos sehari.

Seorang remaja menerima suntikan pelalian Covid-19 menerusi Selvax Komuniti di Klinik Selcare, Seksyen 13 Shah Alam pada 3 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Usaha berterusan itu turut mendapat perhatian Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj apabila Baginda bertitah kadar suntikan vaksin di negeri ini mencatatkan rekod tertinggi di seluruh negara selaras kepadatan penduduk dan bilangan kes.

“Sebanyak 77.6 peratus penduduk dewasa menerima satu dos vaksin, manakala 46 peratus lagi lengkap dua dos melalui Program Imunisasi Covid-19 (PICK) dan Vaksin Selangor (Selvax).

“Beta turut dimaklumkan sebanyak 276,926 dos vaksin melalui program Selvax telah diberikan kepada rakyat,” titah Sultan Selangor ketika perasmian Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Negeri Selangor pada 23 Ogos.

Kerja keras itu mula menunjukkan hasil. Bermula 7 September, kes Covid-19 di Selangor mencatat trend penurunan dari bawah paras 3,000 kepada sekitar 2,000 kes sehari bagi tempoh dua minggu.

Menjelang Oktober, kes baharu Covid-19 konsisten mencatat bawah paras 2,000 dan sehingga 15 November, kes terendah direkodkan di negeri ini adalah 671 pada 11 Oktober dan 686 (4 Oktober).

Selain jumlah harian berkurangan, berkat suntikan vaksin besar-besaran, jumlah pesakit kategori serius yang dimasukkan ke hospital semakin menurun kepada 246 orang pada 9 November. Mereka yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga makin kurang kepada 50 orang pada 15 November.

Pesakit yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) juga menunjukkan aliran menurun kepada 88 orang pada 14 November.

Sementara itu mereka yang meninggal dunia pula makin berkurangan kepada angka bawah 10 orang sepanjang November, malah tiada kematian direkodkan pada 15 dan 16 November.

Hasil kerja keras Kerajaan Negeri dan semua pihak, Selangor masuk ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 1 Oktober dan fasa empat 17 hari kemudian.

Sebelum itu, negeri ini terkurung  dalam fasa satu PPN hampir tiga bulan lamanya sejak 29 Jun. Fasa dua hanya dapat dinikmati mulai 10 September.

 

Grafik Selangorkini

Pengarang :