Khairy Jamaluddin bercakap dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat Selangor di Bangunan Annex Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 15 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Keputusan beri dos penggalak secara jumpa terus petang ini – Khairy

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Kerajaan akan memutuskan sama ada untuk membenarkan pengambilan suntikan dos penggalak secara jumpa terus atau ‘walk-in’, menerusi satu mesyuarat petang ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ia susulan 40 peratus individu yang telah diberi janji temu tidak hadir mendapatkan suntikan dos penggalak.

“Petang ni saya akan pengerusikan mesyuarat CITF (Badan Bertindak Imunisasi Covid-19) dan kami akan buat keputusan untuk mereka yang nak terima booster (dos penggalak) ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Malaysia sebagai Destinasi Rawatan Hepatitis-C di sini hari ini.

Khairy berkata demikian ketika ditanya perancangan dan dasar yang akan diambil kerajaan susulan kira-kira 40 peratus individu yang menerima janji temu untuk vaksinasi dos penggalak di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) tidak hadir untuk menerima suntikan itu.

Situasi itu menimbulkan kebimbangan berkenaan kemungkinan jumlah kemasukan pesakit ke hospital akan meningkat sekiranya bilangan mereka yang menerima dos penggalak itu kekal rendah.

Pemberian dos penggalak bermula pada 13 Okt lepas di seluruh negara untuk individu yang mendapat dos lengkap vaksin Covid-19 bagi memastikan imuniti yang diterima selepas dos lengkap dapat dikekalkan bagi tempoh optimum khususnya terhadap jangkitan varian Delta.

-BERNAMA


Pengarang :