Selangorkini
Salah sebuah pangsapuri yang menawarkan Skim Smart Sewa di Jalan Kapar, Klang. Foto SELANGORKINI
BERITA UTAMA EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Kerajaan Negeri kaji tambah stok pembelian unit Skim Smart Sewa

SHAH ALAM, 16 NOV: Kerajaan Negeri mengkaji keperluan menambah stok pembelian 100 unit Skim Smart Sewa tahun depan bagi menampung permintaan sedia ada.

EXCO Perumahan berkata sejak diperkenal pada 2015, sejumlah 1,111 unit terlibat dengan pelaksanaan program itu melalui peruntukan pembangunan disalurkan Kerajaan Negeri sebagai modal permulaan.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 649 unit dibuka sewaan kepada orang awam memandangkan projek siap sepenuhnya manakala 110 unit telah dibuat penyerahan untuk proses penyewaan.

“Projek dalam pembinaan di tapak pula membabitkan 40 unit manakala pembelian baru diluluskan tahun lepas dan tahun ini ialah 312 unit,” kata Rodziah Ismail ketika dihubungi Selangorkini.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak 920 permohonan diterima setakat ini dengan 530 unit disewakan kepada orang awam, sementara baki unit kosong dalam proses temuduga bagi kemasukan baharu.

Menerusi Belanjawan Selangor 2021, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan sebanyak RM20 juta bagi program Skim Smart Sewa menggunakan dana Tabung Amanah Pengecualian Syarat Kuota Bumiputera.

Skim Smart Sewa memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang tidak berupaya memiliki Rumah Selangorku untuk memiliki kediaman sendiri.


Pengarang :