Hee Loy Sian berucap ketika Majlis Sarapan Merdeka Bersama Orang Asli Ulu Kuang di Dewan Orang Ramai Kg Orang Asli Ulu Kuang, Rawang pada 23 Ogos 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kerajaan Negeri kumpul data rumah Orang Asli perlu dibaiki, bina baru

SHAH ALAM, 28 NOV: Kerajaan Negeri akan mendapatkan maklumat berkaitan kediaman masyarakat Orang Asli bagi proses membina, baik pulih dan menaik taraf kedaifan.

EXCO hal ehwal Orang Asli berkata pengumpulan data itu susulan pembentangan Dato’ Menteri Besar dalam Belanjawan #Selangor 2022 yang memperuntuk RM1.5 juta bagi tujuan keselesaan etnik terbabit.

“Kita akan dapat maklumat daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan wakil rakyat mengenai keadaan rumah-rumah penduduk sama ada perlu dibaiki atau dibina baru.

“Keadaan setiap rumah tidak sama dan kos perbelanjaan juga tidak sama jadi kita kumpul maklumat terlebih dulu,” kata Hee Loy Sian ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata ini kali pertama belanjawan Kerajaan Selangor memberi peruntukan untuk membina rumah untuk masyarakat Orang Asli.

“Ini adalah berita gembira dan mereka menyambut baik usaha Kerajaan Negeri ini kerana sebelum ini hanya peruntukan baik pulih,” katanya.

Jumaat lalu, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana berkenaan memfokus kepada program membina, baik pulih dan naik taraf kedaifan kediaman di perkampungan mereka.

“Kemudahan-kemudahan prasarana sedia ada juga akan dinaik taraf sekali gus menaikkan sosioekonomi dan mengekalkan budaya masyarakat Orang Asal yang telah sekian lama diamalkan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor.


Pengarang :