Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kapar mengalihkan pokok ketapang yang menghempap kereta dinaiki tiga sekeluarga di Batu 1 Jalan Kapar menghala ke Kuala Selangor pada 20 November 2021. Foto ihsan JBPM Selangor
AGENDANASIONAL

Kereta dihempap pokok ketapang, tiga sekeluarga selamat

SHAH ALAM, 20 NOV: Tiga beranak berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki mereka dihempap sebatang pokok ketapang ketika melalui laluan Batu 1, Jalan Kapar menghala ke Kuala Selangor, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu pasangan suami isteri berusia lingkungan 20-an serta anak perempuan mereka berumur dua tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata sepasukan enam pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 6.16 pagi.

Tiga sekeluarga terselamat selepas kereta dinaiki mereka dihempap pokok ketapang ketika melalui Batu 1 Jalan Kapar menghala ke Kuala Selangor pada 20 November 2021. Foto ihsan JBPM Selangor

“Pemeriksaan mendapati kereta itu dihempap pokok setinggi sembilan meter. Semua mangsa bagaimanapun selamat dan keluar sendiri daripada kereta sebelum bomba tiba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Norazam pihaknya bertindak memotong batang pokok kelapa berkenaan dan mengalihkan ke kawasan selamat.

“Kita turut mengalihkan kenderaan yang dihempap tersebut bagi kelancaran lalu lintas,” katanya.


Pengarang :