Ruang solat khas untuk musafir disediakan di Masjid Al-Ikhsan Seksyen 13 Shah Alam pada 3 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Kerinduan solat jemaah lebih ramai di masjid, surau terubat

SHAH ALAM, 4 NOV: Kerinduan umat Islam menunaikan solat fardu dan solat Jumaat di masjid serta surau terubat apabila ibadah itu dibenarkan dengan kapasiti lebih ramai.

Tinjauan Selangorkini di Masjid Al-Ikhlas Seksyen 13 di sini mendapati rata-rata jemaah gembira dengan ketetapan baharu dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Bagi Abdul Hafiz Jaafar Sidek, 39, suasana masjid tidak lagi suram seperti dahulu susulan pertambahan jemaah selain diserikan dengan program pengimarahan seperti kuliah dan tadarus al-Quran.

“Saya bersyukur sebab selepas ini ramai lagi orang boleh datang solat berjemaah. Solat beramai-ramai memang seronok, lagipun banyak kelebihan berbanding solat sendirian.

Abdul Hafiz Jaafar Sidek, 39. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya juga berpeluang berjumpa ahli kariah lain dan sama-sama dengar kuliah untuk mendapatkan ilmu. Sebab itu kalau sehari tak ke masjid jiwa saya rasa kosong,” katanya ketika ditemui hari ini.

Ahmad Habibul Hakim, 25, pula berkata meskipun masih bimbang dengan situasi semasa Covid-19, namun dia tetap ke masjid mendirikan solat fardu berjemaah kerana terlalu rindu suasana rumah ibadat.

“Sebelum ini memang saya solat Zuhur dan Jumaat di masjid ini memandangkan dekat dengan tempat kerja, tetapi tidak berpeluang berbuat demikian selepas pihak berwajib mengehadkan kapasiti.

“Ahamdulillah kali ini mereka (Jais) buka ruang lebih besar walaupun solat Jumaat masih perlu mendaftar. Namun, saya percaya tatacara operasi piawai (SOP) ini adalah untuk keselamatan jemaah,” kata jurutera pembinaan yang tinggal di Klang.

Sementara itu, Nur Asilah Safina Mohd Zamari, 20, mengakui tidak perlu lagi menggantikan solat di rumah susulan kelonggaran tersebut.

Jurutera binaan Ahmad Habibul Hakim, 25. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Sebelum ini saya solat di tempat kerja tetapi ruang terlalu sempit menyebabkan kurang selesa sehingga adakalanya kena ganti balik solat di rumah. Jadi, kelonggaran ini memudahkan saya…paling penting dapat merasai ketenangan solat di masjid,” katanya.

Selangor membenarkan 400 hingga 2,000 orang dibenarkan menunaikan solat Jumaat mulai 1 November kecuali 3,500 orang di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Sementara untuk solat fardu, antara 200 hingga 500 orang bergantung pada kategori masjid dan surau.

Pengarah Jais Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad memaklumkan ketetapan itu mengikut titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sehingga satu tempoh ditetapkan.


Pengarang :