Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia, Adam Yee (kanan) dan Pengerusi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC), Dato’ Zamani Ahmad Mansor (kiri) pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara (STDC) dan Siemens Selangor di Hotel Le Meridien, Putrajaya pada 1 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Kerjasama Selangor, Siemens latih tenaga mahir Revolusi Industri 4.0

PUTRAJAYA, 1 NOV: Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) menjalinkan kerjasama dengan Siemens Malaysia untuk melahirkan tenaga kerja mahir memenuhi keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu akan memperkasakan usaha negeri membangunkan pekerja industri menerusi program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISAS) yang diperkenal pada 2018.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, menerusi kerjasama itu industri dan institusi pendidikan akan merangka silibus memenuhi keperluan semasa yang menyokong lima kluster ekonomi Selangor termasuk pengangkutan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (duduk, tiga dari kiri) menandatangan dokumen pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara Kerajaan Negeri Selangor dan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) dan Siemens Selangor di Hotel Le Meridien, Putrajaya pada 1 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Seperti kita maklum Siemens terbabit projek Transit Aliran Massa (MRT) dan menerusi kerjasama itu kita boleh wujudkan silibus berkenaan teknologi pengangkutan.

“Saya percaya dengan sinergi ini kita dapat selesaikan masalah keperluan industri, sebelum ini kita buat sesuatu tanpa menentukan apa diperlukan mereka,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Kerajaan Negeri, STDC dan Siemens di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim, Pengerusi STDC Dato’ Zamani Ahmad Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia, Adam Yee.

Menerusi kerjasama itu, Siemens akan memindahkan pengetahuan teknologi kepada STDC yang bakal melatih 1,000 peserta setiap tahun.

Kerjasama itu bagi merapatkan jurang bakat bagi memenuhi keperluan industri dalam aspek kemahiran IR 4.0.


Pengarang :