Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Program Selamatkan Melaka pada 18 Oktober 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kestabilan antara parti yakinkan pengundi pilih HARAPAN- Anwar

SHAH ALAM, 6 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin kestabilan antara parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) menjadi kekuatan gabungan itu untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi HARAPAN berkata kestabilan politik memberi keyakinan kepada rakyat untuk memilih gabungan itu sekali gus mengembalikan mandat yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Kita bertanding dalam satu pasukan dan perkara ini tidak berlaku dalam parti kerajaan sekarang dan ini meyakinkan rakyat kalau mahu parti stabil ia hanya ditawarkan oleh HARAPAN.

“Kita menuntut perubahan untuk kembalikan mandat yang pernah diberi kepada kita sebelum ini dengan prestasi HARAPAN yang membanggakan,” katanya.

Beliau berkata dalam sidang media pengumuman calon HARAPAN bagi PRN Melaka secara atas talian hari ini, yang turut dihadiri Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut mengingatkan parti yang stabil bukan bermaksud mengizinkan salah guna kuasa dan rasuah berlaku secara berleluasa.

“Ini ikrar yang kita mahukan dan akan dimasukkan dalam manifesto HARAPAN. Kita akan gerakkan jentera DAP, Amanah dan KEADILAN, kita sepakat untuk lancarkan serangan dalam pilihan raya ini,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November, penamaan calon (8 November) manakala undi awal (16 November).

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober apabila empat ahli dewan negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.


Pengarang :