Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengimbas kod QR MySejahtera sebelum memasuki sebuah warung untuk menikmati minum petang bersama peneroka Felda Bukit Senggeh, Jasin, Melaka pada 12 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ketengah calon muda bukti KEADILAN prihatin suara generasi baharu

JASIN, 13 NOV: Keputusan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) meletakkan beberapa calon berusia bawah 30 tahun bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka membuktikan parti itu mengambil berat suara anak muda.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor berkata pemilihan Farzana Hayani Mohd Nasir, 21, dan Prasanth Kumar Brakasam, 27, untuk mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN) bakal memberi impak penting kepada generasi baharu.

“Kita bagi peluang kepada anak muda dan sudah pasti (memberi) tanggapan yang penting kepada golongan tersebut hatta ke peringkat tertinggi dalam negeri iaitu ADN (Ahli Dewan Negeri).

“Mungkin mereka perlu banyak belajar lagi tetapi idea dan pandangan anak muda harus diambil untuk membuat keputusan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas menghadiri program santai malam bersama Farzana di medan selera Kota Budaya Sungai Rambai di sini malam tadi.

Sebelum itu, Amirudin turut berkesempatan bertemu Prasanth di sebuah warung di Sempang Kerayong dekat sini.

Farzana atau mesra dengan panggilan Nana menjadi pertaruhan KEADILAN untuk merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai manakala Prasanth (DUN Rim) pada PRN Melaka 20 November ini.

Nana akan ditentang Muhammad Jefri Safry dari Bersatu yang mewakili Perikatan Nasional (PN), Nazatul Asyraf Md Dom (Putra) dan Siti Faizah Abdul Azis (BN).

Prasanth pula bakal dicabar Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN) dan Azalina Abd Rahman (PN).


Pengarang :