Selangorkini
ADN Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail bercakap kepada media selepas sesi pembentangan Belanjawan #Selangor 2022 di Dewan Negeri Selangor pada 26 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADN SELANGOR

Ketua pembangkang sambut baik tambah dana ADN

SHAH ALAM, 29 NOV: Ketua pembangkang Selangor menyifatkan tambahan peruntukan kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) pembangkang adalah tindakan ‘gentleman’.

Datuk Rizam Ismail berkata pihaknya menyambut baik peruntukan tambahan daripada RM150,000 kepada RM400,000.

“Kita menerima peruntukan RM400,000 daripada Putrajaya melalui Unit Penyelarasan Persekutuan dan pada masa sama Kerajaan Negeri menyalurkan RM400,000. Maksudnya ada timbal balas dalam perkara ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas pembentangan Belanjawan #Selangor2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Rizam yang juga ADN Sungai Air Tawar berkata pengumuman pembangunan di Sabak Bernam itu dinanti kerana terbengkalai sejak Barisan Nasional tewas.

“Perancangan sudah ada seperti kawasan Sungai Lang sebagai kawasan pendidikan dan industri tetapi pembangunan tidak dapat diteruskan dan terhenti apabila kalah.

“Saya amat berterima kasih dan perkara ini memang ditunggu-tunggu,” katanya.

Peruntukan ADN pembangkang naik hampir tiga kali ganda tahun depan sehingga RM400,000 berbanding RM150,000 ketika ini.


Pengarang :