AGENDANASIONAL

Kilang baharu FamilyMart Malaysia dekat Shah Alam siap suku pertama 2022

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Kilang baharu FamilyMart Malaysia dengan jumlah pelaburan kira-kira RM100 juta akan siap menjelang suku pertama 2022. sekali gus membolehkan pengusaha kedai serbaneka itu membekalkan lebih banyak stok kepada kedai runcitnya.

Pengarah Eksekutif QL Resources Bhd Chia Lik Khai berkata kilang baharu itu terletak berhampiran dengan kilang sedia adanya di Shah Alam, Selangor.

“Saya percaya ia akan mewujudkan ratusan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia kerana ia memerlukan kumpulan pekerja yang besar untuk bekerja di kilang. Apa yang membezakan kami ialah FamilyMart akan mengambil warga tempatan,” katanya pada sambutan ulang tahun kelima dengan pengenalan konsep baharu ‘Food Superstore’.

QL Resources ialah pemegang francais utama/induk kedai serbaneka FamilyMart di Malaysia.

Kedai berkonsepkan ‘Food Superstore’ pertama terletak di Sri Petaling dan Bandar Puteri Puchong.

Beliau berkata kedai dengan konsep baharu itu memenuhi komitmen FamilyMart untuk menjadikan kehidupan pengguna moden lebih mudah dan lebih baik melalui produk, perkhidmatan dan kemudahan yang memenuhi keperluan harian mereka.

Selain itu, Chia berkata syarikat turut merancang membuka sehingga 20 kedai konsep dinaik taraf menjelang akhir 2021.

Beliau berkata, pada kebiasaannya setiap tahun, FamilyMart akan membuka 80 hingga 200 kedai baharu bergantung kepada keadaan pasaran.

“Tetapi sekarang ia tertakluk kepada bagaimana situasi pandemik. Di bawah kedai runcit, kami sebenarnya akan mewujudkan peluang pekerjaan sekitar lapan hingga 10 pekerja untuk setiap kedai yang dibuka bergantung pada saiz kedai,” katanya sambil menjelaskan syarikat itu menyasar untuk mencapai 1,000 kedai dalam tempoh 10 tahun sejak pelancaran pertamanya pada 2016.

Setakat ini, FamilyMart telah membuka lebih 250 kedai di seluruh negara.

Mengenai kenaikan harga komoditi di seluruh dunia, Chia berkata seperti mana-mana pengeluar makanan, FamilyMart tidak terkecuali daripada gangguan rantaian bekalan.

Beliau berkata syarikat itu akan cuba sedaya upaya untuk mengatasi keadaan dalam jangka pendek dan tidak bercadang untuk menaikkan harga produknya pada masa ini.

“Tetapi jika harga produk terus meningkat, lambat laun kami perlu melaraskannya dalam jangka panjang,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :