Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Mohd Wazir Khalid ketika melakukan pemeriksaan sebuah kilang roti di Jalan Kedah pada 24 November 2021. Kilang berkenaan diarahkan tutup kerana kotor dengan najis tikus di atas plastik bungkusan roti manakala sisa minyak tepu menitik ke atas roti yang baru dimasak. Malah pemeriksaan mendapati kilang roti yang beroperasi sejak 50 tahun lepas itu turut menggunakan logo halal yang mengelirukan dan peralatan membuat roti juga didapati ‘berkerak’. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kilang roti ada najis tikus diarah tutup dua minggu

GEORGE TOWN, 24 NOV: Sebuah kilang roti di Jalan Kedah di sini, diarahkan tutup bermula hari ini kerana didapati tidak mencapai piawaian di bawah Program Jaminan Keselamatan Makanan yang boleh menyebabkan pencemaran dan keracunan makanan.

Selain itu, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) turut mendapati kilang roti yang beroperasi sejak 50 tahun lepas menggunakan logo halal yang mengelirukan dan peralatan membuat roti didapati ‘berkerak’.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNPP Mohd Wazir Khalid berkata pemeriksaan mendapati pemilik kilang itu meletakkan roti siap dimasak di dalam kotak-kotak yang mempunyai tanda halal walaupun kilang itu tidak pernah memohon sijil halal daripada pihak berkuasa.

“Kilang roti itu pernah diberikan amaran tahun lepas kerana operasi mereka tidak menepati standard kebersihan yang ditetapkan dan pemiliknya diarahkan menutup selama dua minggu bermula hari ini.

“Kali ini menerusi pemeriksaan dan serbuan hari ini, kami mendapati ada sisa najis tikus di atas plastik bungkusan roti dan terdapat sisa minyak tepu di atas rak pembakar roti. Situasi ini amat membimbangkan kerana kemungkinan berlaku pencemaran terhadap roti yang dijual kepada pelanggan.

“Malah, pemilik kilang itu turut menggunakan kotak yang mempunyai logo halal sedangkan tidak pernah memohonnya..tindakan tersebut mengelirukan pengguna kerana menyangka ia halal dan pasaran roti dari kilang tersebut di sekitar negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas Ops Bersih itu hari ini.

Sementara itu, Mohd Wazir berkata dalam operasi sama pihaknya turut mengarahkan sebuah kedai pembuatan mi yang beroperasi sejak 80 tahun lepas di Jalan Pintal Tali di sini ditutup kerana pelbagai isu membabitkan keselamatan dan kebersihan makanan.

Katanya, kedai mi berkenaan turut diarah tutup selama dua minggu kerana beroperasi dalam keadaan tidak bersih serta tidak menepati tahap keselamatan makanan yang ditetapkan oleh JKNPP.

“Kami pernah menyerbu kedai ini juga pada tahun lepas dan memberi amaran supaya mereka meningkatkan mutu kebersihan namun ia tidak diikuti. Dalam pemeriksaan hari ini mendapati pemiliknya meletakkan makanan yang telah siap diproses di atas lantai malah produknya juga tidak mempunyai label,” katanya.

Beliau berkata arahan penutupan kedua-dua premis itu dibuat menurut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan pihaknya turut mengeluarkan tiga kompaun berjumlah hampir RM3,000 ke atas kilang roti dan kedai pembuatan mi tersebut.

– BERNAMA


Pengarang :