EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah (tiga, kanan) merasmikan program Kita Seniman Selangor di pusat beli belah Shah Alam City Centre (SACC Mall) pada 4 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kita Seniman Selangor inisiatif tambahan bantu golongan seni

SHAH ALAM, 4 NOV: Satu lagi inisiatif dilancar Kerajaan Selangor membabitkan peruntukan RM50,000 bagi membantu kelangsungan hidup golongan seni ketika pasca Covid-19 ini.

EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah berkata program Kita Seniman Selangor merupakan kesinambungan Kita Buskers Selangor yang dijayakan pada Ogos lalu.

Jelasnya, program seminggu bermula hari ini di SACC Mall dan Komplek PKNS Shah Alam bertujuan merancakkan proses pemulihan ekonomi dengan cara menyediakan ruang berkarya.

“Kita Seniman Selangor bakal memanfaatkan 100 penggiat seni dari kalangan pemuzik dan pelukis jalanan, akan berjalan dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

“Kita akan lihat lokasi lain bersesuaian bagi memperluaskan lagi inisiatif ini. Sekarang dua lokasi ini menjadi projek perintis,” katanya selepas melancarkan program berkenaan.

Borhan berkata susulan pandemik, Selangor menghulurkan pelbagai bantuan kepada semua golongan tanpa mengira latar belakang.

“Bukan hanya penggiat seni dan golongan berpendapatan rendah (B40) sebaliknya semua peringkat. Remaja, anak sekolah, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal, peniaga semua dibantu.

“Kita bantu semua ketika keadaan ekonomi tidak stabil. Kita sedar semua terkesan dari bencana Covid-19 ini apabila ramai tidak dapat bekerja ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Pada Ogos Kerajaan Selangor memperuntuk RM250,000 bagi membantu pemuzik yang berdaftar bawah kelab atau persatuan negeri yang terjejas akibat pandemik.

Usaha melalui Kita Buskers Selangor melibatkan 720 pemuzik jalanan itu dimulakan dengan menempatkan mereka di pusat pemberian vaksin (PPV) bagi menghiburkan penerima suntikan.


Pengarang :