Imbasan mikroskop elektron menunjukkan SARS-CoV-2 (objek biru bulat) muncul dari permukaan sel yang dikultur di makmal, yang menyebabkan Covid-19. Virus itu diasingkan dari seorang pesakit di Amerika Syarikat pada 27 Februari 2020. Foto AFP
AGENDANASIONAL

KKM bakal perkenal sistem amaran kesan kenaikan kes Covid-19

REMBAU, 21 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperkenalkan Sistem Amaran Berisiko Tinggi bagi mengesan tanda-tanda awal peningkatan kes Covid-19 dalam negara.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata menerusi sistem tersebut KKM mencadangkan beberapa sektor diperketat sekiranya didapati berlaku peningkatan kes namun ia bukan sekatan pergerakan penuh.

“Saya akan umumkan perkara itu termasuk perincian dalam situasi bagaimana sistem ini akan diguna pakai. Mungkin dalam masa seminggu atau dua minggu ini saya akan maklumkan.

“Kalau boleh kita mahu elak sekatan pergerakan, sebab sekatan pergerakan ini bukan hanya mengganggu ekonomi tetapi memberi kesan yang lain, kesan kesejahteraan keluarga dan kesihatan mental, saya rasa rakyat mungkin tidak boleh menghadapi satu lagi sekatan pergerakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan aset KKM termasuk van dan komputer riba kepada Pejabat Kesihatan Daerah Rembau di sini hari ini.

Khairy berkata setakat ini keadaan sistem kesihatan KKM terkawal namun tanda-tanda awal peningkatan kes Covid-19 sudah ada dan beliau mengingatkan orang awam tidak terlalu selesa terutama di negeri-negeri yang berada dalam Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara.

“Kita sangat bimbang kerana sudah nampak tanda-tanda awal (kes jangkitan tinggi), KKM nampak perkara ini dari tahun lepas dan memang berlaku. Sistem kesihatan belum sampai ke tahap lumpuh namun tanda kebimbangan amat jelas,” katanya.

Beliau berkata perkara yang dibimbangkan adalah peningkatan kes yang serius sehingga kemasukan ke hospital terutama kes kritikal kategori empat dan lima.

Menurut Khairy mengambil contoh di Negeri Sembilan, kes kemasukan ke hospital meningkat sekali ganda dalam tempoh sebulan iaitu 35 pesakit memerlukan bantuan oksigen pada 25 Okt lepas berbanding 70 pesakit semalam.

“Jika trend ini berterusan, kita terpaksa menyediakan katil bagi rawatan kritikal seperti di unit rawatan rapi (ICU) dan memerlukan bekalan oksigen bagi merawat pesakit,” katanya.

Mengenai suntikan dos penggalak vaksin Covid-19, Khairy sekali lagi menyeru orang ramai yang mendapat janji temu supaya menerima suntikan sekali gus tidak memilih jenis vaksin yang diberikan pihak KKM.

Beliau berkata pihaknya akan menjalankan siasatan sekiranya terdapat kes sampingan yang serius dalam kalangan penerima suntikan itu.

-BERNAMA


Pengarang :