Petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Kelantan melakukan ujian saringan Covid-19 kepada penumpang yang tiba dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa pada 18 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

KKM buat simulasi tindak balas krisis hadapi lonjakan kes Covid-19

SHAH ALAM, 16 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia menghadapi kemungkinan peningkatan mendadak kes Covid-19 termasuk menjalankan simulasi susulan kadar kebolehjangkitan kembali melepasi nilai 1, sejak beberapa hari lalu.

Menteri kesihatan Khairy Jamaluddin melalui hantaran di Twitter semalam meminta KKM dan beberapa agensi membuat penilaian terhadap kebarangkalian situasi terburuk penularan jangkitan dan mengadakan simulasi tindak balas krisis, lapor Berita Harian.

“Program Tabletop Exercise Covid-19 KKM 2021 berlangsung sejak beberapa hari lalu. Kita mesti bersedia untuk lonjakan kapasiti penjagaan kesihatan kita. Rt (kadar kebolehjangkitan) kini pada 1.05,” katanya.

KKM menerusi beberapa hantaran di Twitter, menyatakan program itu dianjurkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Perkhidmatan Hospital (CPRCPH), Program Perubatan dengan kerjasama ‘Subject Matter Expert’ Perkhidmatan Perubatan Kecemasan KKM selama tiga hari bermula 13 November sehingga semalam.

KKM berkata objektif latihan simulasi itu sebagai langkah proaktif menghadapi kemungkinan keadaan kritikal pada masa akan datang, melalui gambaran simulasi untuk merancang dan membuat tindakan secara strategik.

Sementara itu, laman web COVIDNOW turut menunjukkan peningkatan kes dianggarkan sebanyak 5,800 kes atau 17 peratus dalam tempoh tujuh hari lalu.

Kadar kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital turut meningkat iaitu dianggarkan 1,259 kes atau sembilan peratus dalam tempoh tujuh hari lalu, dengan penggunaan katil hospital pada kadar 69 peratus setakat tengah malam tadi.

Berdasarkan data sama, Putrajaya mencatatkan peningkatan kes tertinggi sejak tujuh hari lalu iaitu sehingga 82 peratus dan Perlis menunjukkan kadar peningkatan kes terendah iaitu tiga peratus.

Kuala Lumpur mencatatkan peningkatan kemasukan ke hospital tertinggi iaitu 115 peratus sejak tujuh hari lalu namun kadar penggunaan katil hanya pada paras 49 peratus setakat tengah malam tadi.

Beberapa negeri turut mencatatkan kadar penggunaan katil hospital melebihi 80 peratus iaitu Kelantan dengan 84 peratus, Melaka (83 peratus), Kedah (81 peratus) diikuti Negeri Sembilan (78 peratus), Perak (74 peratus), Johor (72 peratus) dan Selangor (71 peratus).

 


Pengarang :