Ubat jenis Ivermectin untuk merawat jangkitan Covid-19 belum diiktiraf bidang perubatan antarabangsa. Mana-mana pihak yang mempromosi penjualan ubat ini sebagai penawar boleh dikenakan tindakan tegas bawah Akta Racun 1952. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM cadang uji Ivermectin ke atas kontak rapat pesakit Covid-19

PUTRAJAYA, 7 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) dan Institut Penyelidikan Klinikal Kebangsaan (ICR) bercadang memulakan ujian klinikal bagi mengkaji keberkesanan Ivermectin sebagai prophylaxis ke atas kontak rapat pesakit Covid-19 bagi mencegah dijangkiti wabak itu, seawal bulan hadapan.

Pengarah ICR Dr Kalairasu M. Periasamy berkata kajian Randomised, Double Blind, Placebo Controlled Clinical Trial of Ivermectin For Post Exposure Prophylaxis For Covid-19 Infection Among Close Contacts (I-CPEP), menyasarkan seramai 300 peserta berusia 18 tahun ke atas.

Beliau berkata peserta merupakan kontak rapat ke atas pesakit Covid-19, di empat negeri terpilih membabitkan 10 fasiliti kesihatan di beberapa daerah di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Perlis.

“Para peserta akan diminta menjalani ujian ujian pantas polimeras masa nyata (RT-PCR) sebanyak dua kali iaitu sebelum kajian dilaksana dan pada hari kelapan kajian.

“Individu ini akan diperhatikan semasa mereka menjalani kuarantin sama seperti garis panduan dikeluarkan KKM untuk kuarantin kontak rapat. Mereka juga akan diberi Ivermectin pada hari pertama dan kedua sepanjang tempoh kuarantin,” katanya semasa Sesi Libat Urus Media Secara Maya: Kajian Keberkesanan Rawatan Ivermectin Dalam Penyakit Covid-19 Di Kalangan Pesakit Berisiko, hari ini.

Turut sama dalam sesi libat urus ini ialah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) merangkap moderator untuk sesi berkenaan, Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim dan Ketua Penyelidik, Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit Dr Steven Lim Chee Loon.

Dr Kalairasu bagaimanapun berkata pihaknya masih menunggu kelulusan dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk melaksanakan kajian klinikal ini.

“Kajian klinikal ini akan dihentikan selepas kami menerima jumlah sampel yang diperlukan iaitu seramai 300 orang,” katanya.

Sebelum ini, KKM telah membuat kajian keberkesanan rawatan Ivermectin kepada 500 pesakit Covid-19 berisiko tinggi dan hasil kajian merumuskan kaedah rawatan menggunakan Ivermectin tidak disyorkan untuk dimasukkan ke dalam garis panduan rawatan sedia ada kerana ia tidak mengurangkan risiko jangkitan tahap teruk.

-BERNAMA

 


Pengarang :