Imbasan berwarna mikrograf elektron sel apoptosis (coklat kehijauan) yang dijangkiti Covid-19 (merah jambu) yang diasingkan dari sampel ujian pesakit di Maryland, Amerika Syarikat. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

KKM tingkat pengawasan di pintu sempadan kesan varian Omicron

SHAH ALAM, 29 NOV: Kementerian Kesihatan (KMM) akan meningkatkan pengawasan genomik di pintu masuk antarabangsa untuk memastikan kewujudan varian baharu Omicron dapat dikesan dengan cepat.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata setakat ini kerajaan berjaya meningkatkan kapasiti analisis jujukan genom penuh kepada 1,500 sampel sebulan.

“Dengan adanya varian membimbangkan (VOC) ini saya akan memohon kepada Kementerian Kewangan untuk tambah lagi peruntukan agar kita dapat tingkatkan lagi kapasitinya bagi melaksanakan pengawasan genomik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Petugas Covid-19 Institut Kesihatan Negara hari ini.

Beliau berkata jujukan genom penuh itu penting kerana melalui cara tersebut pihaknya akan dapat mengesan jenis varian yang berada di Malaysia.

“Melalui jujukan genom penuh, kita mengesan varian Delta telah ada di Malaysia dan analisis itu juga penting sekiranya varian baharu, Omicron juga wujud di Malaysia.

“Setakat hari ini melalui KKM, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pengajian Tinggi yang membentuk konsortium bagi meningkatkan kapasiti penjujukan genom Covid-19, belum lagi menerima laporan mengenai varian Omicron di Malaysia,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :