Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) pada sidang akhbar bersama Presiden Joko Widodo di Istana Bogor, Jakarta pada 10 Novermber 2021. Foto BERNAMA
NASIONAL

KL, Jakarta perhalusi inisiatif bagi buka sempadan kedua-dua negara

JAKARTA, 10 NOV: Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk melaksanakan pengurusan koridor perjalanan melalui aturan Travel Corridor Arrangement atau Vaccinated Travel Lane berikutan kedua-dua negara semakin pulih daripada pandemik Covid-19.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata menteri-menteri berkaitan akan memperhalusi inisiatif itu supaya sempadan kedua-dua negara dapat dibuka membabitkan laluan Kuala Lumpur-Jakarta-Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur-Bali-Kuala Lumpur.

“Jika dipercepatkan urusan untuk butirannya, pernyataan bersama akan dibuat bagi mengumumkan pembukaan sempadan antara Malaysia dan Indonesia,” katanya dalam sidang akhbar bersama Presiden Joko Widodo di Istana Bogor sempena lawatan sulung rasmi tiga hari beliau yang bermula Selasa.

Mengenai pekerja Indonesia di Malaysia, perdana menteri memberi jaminan untuk terus memelihara kebajikan dan perlindungan rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia.

Ismail Sabri berkata Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 telah diluluskan pindaannya tahun lepas, yang menjamin keselesaan penginapan pekerja bagi rakyat tempatan dan rakyat asing termasuk dari Indonesia.

Perdana Menteri turut memberi jaminan Memorandum Persefahaman (MoU) Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) di Malaysia di antara Kementerian Sumber Manusia Malaysia dan Kementerian Tenaga Kerja Indonesia akan dimuktamadkan secepat mungkin.

Beliau berkata warga Indonesia boleh memanfaatkan program pemutihan yang dilanjutkan oleh kerajaan Malaysia sehingga penghujung tahun ini sama ada pulang secara sukarela atau bekerja secara sah.

“Kerjasama Malaysia dan Indonesia dalam bidang kebudayaan juga akan dipertingkat melalui penyenaraian bersama ke UNESCO beberapa lagi item warisan kebudayaan yang diwarisi bersama,” kata beliau.

Berhubung sempadan maritim kedua-dua negara, Ismail Sabri memberi jaminan Malaysia terus komited untuk mencapai penyelesaian bagi memuktamadkan perkara itu.

“Ada empat isu yang berkaitan, dua isu telah selesai dan boleh ditandatangani,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri dan Jokowi bersependapat isu Myanmar perlu ditangani dengan baik kerana kesan daripada masalah di negara itu memberi impak besar kepada Malaysia daripada segi kedatangan pelarian etnik Rohingya ke Malaysia yang sekarang berjumlah lebih 200,000 orang.

Pada akhir sidang akhbar itu Ismail Sabri menjemput Jokowi melakukan lawatan rasmi ke Malaysia.

Jokowi telah mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia sebanyak dua kali sejak memegang jawatan presiden negara itu.

Terdahulu Ismail Sabri dan Jokowi menyaksikan dua MoU ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia bagi kerjasama dalam bidang pendidikan dan kastam.

Sepanjang lawatan itu, Ismail Sabri diiringi Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Indonesia Adlan Mohd Shaffieq.

– BERNAMA

 


Pengarang :