Foto Facebook PLANMalaysia
AGENSISELANGOR

Komuniti di Selangor dapat Anugerah Kejiranan Hijau 2021

SHAH ALAM, 10 NOV: Beberapa komuniti di Selangor diiktiraf dalam pelbagai kategori sempena program Penghargaan Anugerah Kejiranan Hijau 2021 semalam.

Juara komuniti perumahan kampung diraih Kebun Komuniti Kampung Sungai Pinang Bandar, Klang manakala Kampung Baru Ampang memenangi tempat ketiga dalam kategori sama.

Persatuan Penghuni dan Pemilik Rumah Damansara Jaya, Petaling Jaya pula mendapat tempat ketiga untuk kategori perumahan bertanah.

Anugerah perumahan bertingkat diberikan kepada Pangsapuri Cemara, Cheras dan Kelab Alam Sekitar Blok 3, Desa Mentari Petaling Jaya, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Sementara Sekolah Menengah Kebangsaan Putra Perdana, Puchong dan Sekolah Kebangsaan Jalan Empat, Bandar Baru Bangi meraih tempat ketiga dan kedua bagi kategori institusi awam dan swasta.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya turut menjuarai kategori pihak berkuasa tempatan diikuti Majlis Perbandaran Ampang Jaya di tempat kedua.

Juara membawa pulang wang tunai RM5,000, RM3,000 (kedua) dan RM1,500 (ketiga) selain trofi serta sijil penghargaan.

Sebanyak 130 penyertaan diterima sebelum 30 permohonan disenarai pendek dalam program anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Majlis perhargaan yang berlangsung secara maya disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.


Pengarang :