Selangorkini
Petugas kesihatan menunjukkan vaksin yang telah disukat sebelum disuntik kepada penerima dalam program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Dusun Tua di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Evo Mall Bandar Baru Bangi, Kajang pada 16 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

KPM siasat dakwaan guru tolak vaksin diasing dalam stor tukang cuci

IPOH, 27 NOV: Siasatan penuh masih dijalankan bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung isu tular seorang lelaki yang mendakwa sebagai guru, diasingkan di bilik simpanan stor tukang cuci oleh pihak sekolah di sini, kerana belum menerima vaksin Covid-19.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon berkata orang ramai diminta supaya tidak memperbesarkan perkara itu, dan perlu menunggu laporan hasil siasatan dijalankan oleh kementerian bersama pihak-pihak berkaitan.

“Pada saya elok jangan kita uar-uarkan perkara ini kerana akan menjadikan keadaan bertambah keruh. Jangan buat spekulasi dan tunggulah laporan penuh,” katanya yang juga timbalan presiden MCA, selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan MCA Perak hari ini.

Rabu lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak Ahmad Saidi Mohamad Daud dilaporkan berkata hasil siasatan penuh dan terperinci oleh Jabatan Pendidikan Negeri, telah dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan.

Dalam pada itu, Mah berkata kerajaan sentiasa menjaga kebajikan semua pihak khususnya murid dan guru ketika berada di sekolah, bagi sesi pembelajaran secara bersemuka.

“Mengenai guru belum sedia divaksinasi atau antivaksin serta mereka yang kita telah dikenal pasti tidak menerima vaksin, kita masih menunggu arahan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) berhubung tindakan yang boleh diambil.

“Bukan mudah hendak menjaga kebajikan guru, keutamaan kita juga kepada kebajikan guru lain yang telah lengkap vaksinasi dan murid,” katanya.

Sementara itu, video berdurasi lebih seminit yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok itu menunjukkan lelaki berkenaan meluahkan rasa kesal atas layanan yang diberi, dan mendakwa pada awalnya dia ditempatkan di stor pendidikan jasmani sebelum ditukarkan ke stor tukang cuci yang berdindingkan zink, atas alasan ia merupakan kawasan laluan dan mempunyai banyak peralatan sukan.

Lelaki itu juga mendakwa bilik stor tukang cuci itu hanya mempunyai meja dan kipas, tetapi tidak mempunyai kerusi serta plag untuk kegunaan komputer riba.

-BERNAMA


Pengarang :