Selangorkini
AGENDA NASIONAL

KTMB henti operasi tren Stesen JBS – Kempas Baru mulai Selasa

JOHOR BAHRU, 20 NOV: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menghentikan sementara operasi tren antara Stesen Johor Bahru Sentral (JBS) dan Kempas Baru berkuat kuasa Selasa ini (23 Nov) hingga Mei tahun depan.

Ketua Pegawai Operasi KTMB Mohd Zain Mat Taha berkata ia berikutan pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-JBS (PLBEGJB) yang dijalankan di antara kedua-dua stesen berkenaan.

“Berikutan itu, operasi perkhidmatan tren Ekspres Selatan bagi laluan JBS-Gemas-JBS dan tren Ekspres Rakyat Timuran bagi laluan JBS-Tumpat-JBS akan mengalami perubahan.

“Bagi perkhidmatan Shuttle Tebrau antara JBS-Woodlands-JBS masih tidak beroperasi sehingga kerja-kerja pembinaan ini selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mulai Selasa ini, penumpang yang membuat perjalanan menggunakan perkhidmatan tren Ekspres Selatan dan Ekspres Rakyat Timuran perlu ke Stesen Kempas Baru kerana perkhidmatan tren tamat dan bermula di stesen itu.

Menurut Mohd Zain, penumpang yang membeli tiket dari atau ke JBS serta tidak berhasrat untuk meneruskan perjalanan, pemulangan tambang penuh akan dikreditkan ke dalam KTM Wallet melalui aplikasi KTMB Mobile.

“KTMB akan bekerjasama dengan syarikat e-hailing untuk memastikan ketersediaan pengangkutan alternatif di stesen terlibat,” katanya sambil menambah pengguna disarankan merancang perjalanan bagi memudahkan pergerakan dan tidak menghadapi kesukaran pada masa akan datang.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dan jadual terkini dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-22671200.

PLBEGJB di sepanjang 192 kilometer merentas empat daerah iaitu, Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru telah bermula pada Dis 2016 dan dijangka siap pada Jun 2023 sekali gus melengkapkan laluan landasan berkembar di Kawasan Pantai Barat Malaysia.

– BERNAMA


Pengarang :