ADNBERITA UTAMASELANGOR

Kurangkan caj urusan pinjaman Hijrah, mampu ringan beban peminjam

SHAH ALAM, 28 NOV: Pengurangan caj pengurusan peminjam Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) sebanyak empat peratus seperti diumum menerusi Belanjawan #Selangor2022 bukti kerajaan prihatin terhadap golongan peniaga.

Ahli Dewan Negeri Permatang Rozana Zainal Abidin berkata langkah tersebut membolehkan peminjam menyimpan lebihan yang sepatutnya dibayar di samping bersiap sedia sekiranya berlaku kecemasan pada masa depan.

“Saya amat tertarik dengan pengumuman Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari semalam (Jumaat lalu) berhubung inisiatif itu yang sedikit sebanyak membantu meringankan beban usahawan Hijrah.

“Jika sebelum ini peminjam perlu bayar lapan peratus tetapi sekarang dikurangkan kepada empat peratus…ini bermakna mereka ada lebih lagi empat peratus dan boleh simpan baki itu serta guna jika berlaku situasi sukar pada masa akan datang,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama Rozana berkata keputusan Kerajaan Selangor juga dapat menggalakkan lebih ramai individu memohon pinjaman melalui platform Hijrah sebagai medium untuk memulakan perniagaan.

Pada Jumaat, Amirudin ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2022 mengumumkan tujuh penambahbaikan yang akan dilaksana dalam skim Hijrah yang mana salah satu daripadanya adalah mengurangkan caj pengurusan peminjam dari lapan peratus kepada empat peratus untuk pinjaman RM30,000 ke bawah.


Pengarang :