Penyerahan lima unit Bas Smart Selangor kepada PKRC Maeps di Serdang oleh Kerajaan Selangor pada 23 Januari 2021. Foto Facebook Selangor State Government
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lebih 10,700 perjalanan Bas Smart Selangor bawa pesakit ke PKRC

SHAH ALAM, 18 NOV: Lebih 10,700 perjalanan dicapai Bas Smart Selangor membawa pesakit Covid-19 ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), Serdang.

Angka itu bagi tempoh 10 bulan sejak ia mula digerakkan pada awal tahun ini, kata EXCO Pengangkutan Ng Sze Han.

“Setakat ini kita sudah menamatkan perkhidmatan tersebut kerana kemasukan pesakit semakin berkurangan tidak seperti awal pandemik lalu,” katanya menerusi Bual Bicara Selangor TV #Selangor2022 Langkah Hadapi Endemik malam tadi.

Mengulas mengenai tambahan laluan Bas Smart Selangor, Sze Han berkata pihaknya akan mengkaji perkara tersebut dan bergantung kepada peruntukan yang diberi menerusi belanjawan akan datang.

“Kita menerima banyak permohonan untuk menambah laluan tetapi kita akan kaji terlebih dahulu…saya berharap peruntukan pengangkutan awam seperti Bas Smart Selangor dikekalkan pada belanjawan nanti,” katanya lagi.

Pada 20 Januari, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Bas Smart Selangor  digunakan untuk membawa pesakit Covid-19 dari rumah ke PKRC.

Pakej dengan implikasi kewangan berjumlah RM73.877 juta bagi meringankan beban rakyat melalui pelbagai inisiatif khas untuk mendepani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.


Pengarang :