Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed (dua kiri) bersama Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) Tan Sri Mazlan Mansor (tengah) semasa gimik Pelancaran Inisiatif Prihatin Pelajar Yatim Piatu Covid-19 Negeri Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada 8 Okt 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lebih 1,400 anak yatim dikenal pasti layak terima bantuan Covid-19 Yide

SHAH ALAM, 8 NOV: Seramai 1,403 pelajar daripada 1,020 keluarga dikenal pasti layak menerima bantuan melalui program Sumbangan Prihatin Anak Yatim Covid-19 Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide).

Daripada jumlah itu, seramai 794 anak yatim akan menerima bantuan persekolahan bernilai RM200 manakala 549 keluarga memperoleh wang tunai RM500 dengan peruntukan keseluruhan RM433,300, kata pengurus besarnya.

“Antara syarat melayakkan mereka mendapat bantuan ialah warganegara Malaysia beragama Islam dan umur tidak lebih 16 tahun semasa pendaftaran.

“Selain itu, anak yatim piatu yang kematian ibu dan bapa atau anak yatim kematian bapa kandung kerana Covid-19 serta bermastautin di Selangor sekurang-kurangnya tiga bulan,” kata Nur Mohd Razali Abdullah ketika dihubungi.

Bagaimanapun, beliau berkata individu berkenaan perlu membuat permohonan melalui sistem pendaftaran anak yatim http://www.yide.com.my atau http://www.epayns.com.my yang dibuka mulai hari ini sehingga 29 November.

“Oleh itu, kita mengalukan mereka berdaftar dengan Yide bagi memudahkan agihan bantuan pada tahun berikutnya.

“Permohonan lengkap di isi di laman sesawang perlu dicetak dan disahkan nazir, Jawatankuasa Ketua Kampung, penghulu atau pengetua dan hantar ke ibu pejabat Yide berserta dokumen dinyatakan di borang tersebut,” katanya.


Pengarang :