Ilustrasi penderaan dan keganasan rumah tangga. Foto ARKIB SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Lebih 1,500 kes keganasan rumah tangga dilapor hingga Oktober

SHAH ALAM, 29 NOV: Sebanyak 1,519 kes keganasan rumah tangga direkodkan di Selangor sehingga Oktober lalu, kata EXCO pembangunan wanita dan keluarga.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata berdasarkan statistik polis Selangor, jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan sejak 2018 sehingga Oktober 2021 ialah 4,978 kes.

“Pada 2018 kes dicatat ialah 951, manakala 1,159 kes (2019), 1,349 (2020) dan 1,519 bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu.

“Kerajaan Negeri mengambil inisiatif dengan menyediakan Talian SELamat sebagai talian khas untuk masyarakat membuat aduan tentang keganasan rumah tangga yang berlaku khususnya di Selangor,” katanya.

Siti Mariah menjawab soalan wakil rakyat Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berhubung jumlah kes keganasan rumah tangga dan langkah diambil Kerajaan Negeri mengurangkannya pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Tambah Siti Mariah, dalam tempoh tiga minggu talian SELamat beroperasi, sebanyak 14 panggilan diterima iaitu tujuh daripadanya berkaitan keganasan rumah tangga yang mana tiga panggilan masing-masing kategori psikologi dan fizikal manakala satu berhubung ekonomi.

“Kesemua kes yang diterima adalah bukan kecemasan dan tujuan panggilan adalah untuk mendapatkan khidmat kaunseling bagi membantu mereka dari segi pengurusan emosi.

“Berdasarkan maklum balas selama tiga minggu ini, Talian SELamat telah membantu pemandiri dan pemanggil dengan menjadi rujukan pertama kepada masalah keganasan rumah tangga yang berlaku kepada mereka, ahli keluarga atau jiran,” katanya.


Pengarang :