EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud menjawab soalan di Dewan Negeri Selangor pada 29 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lebih 4.7 juta penduduk Selangor sudah terima vaksin Covid-19

SHAH ALAM, 29 NOV: Lebih 4.7 juta daripada 5.1 juta penduduk di Selangor berusia 12 tahun ke atas sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 sekurang-kurangnya dos pertama, kata EXCO kesihatan awam.

Jelas Dr Siti Mariah Mahmud, jumlah itu melibatkan individu berusia lebih 18 tahun iaitu 4.3 juta manakala 495,447 pula bagi 12 hingga 17 tahun.

Menurut beliau, pemberian vaksin Covid-19 bagi penduduk remaja 12 hingga 17 tahun masih dalam proses dengan semua agensi yang terlibat termasuk Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan pertubuhan bukan kerajaan.

“Anggaran jumlah keseluruhan yang belum divaksin ialah 348,890 individu iaitu 275,237 bagi individu berusia lebih 18 tahun dan 73,653 bagi 12 hingga 17 tahun,” katanya.

Dr Siti Mariah menjawab soalan wakil rakyat Bukit Lanjan Elizabeth Wong Keat Ping berhubung jumlah penduduk Selangor daripada umur 12 tahun dan ke atas yang belum divaksin.

Tambah beliau, ketua jabatan boleh mengarahkan penjawat awam mendapatkan suntikan vaksin yang lengkap dengan cara mengemukakan Sijil Digital Vaksinasi Covid-19 bermula 1 November.

“Mana-mana penjawat awam yang gagal mematuhi arahan ketua jabatan boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan. Sekiranya pegawai tidak dapat melengkapkan dos atas sebab kesihatan, ketua jabatan boleh mengarahkan penjawat awam untuk membuat pemeriksaan kesihatan.

“Berdasarkan data Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia 2.0 jumlah penjawat awam di Selangor adalah 22,314 dan hanya 132 individu 0.59 peratus belum mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.


Pengarang :