ADNBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 400 warga emas, OKU diminta tuntut baucar beli-belah

SHAH ALAM, 15 NOV: Seramai 411 ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu diminta menuntut baucar Jom Shopping sebelum 22 Disember ini.

Wakil rakyatnya Lee Kee Hiong berkata mereka terdiri daripada warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) kelahiran Ogos hingga Disember.

Antara penerima baucar Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas DUN Kuala Kubu Bharu. Foto Facebook Lee Kee Hiong

“Kami mengalu-alukan warga emas dan OKU tampil ke Pusat Khidmat Masyarakat pada Isnin hingga Jumaat jam 10 pagi hingga 5 petang untuk mengambil baucar Jom Shopping,” katanya di Facebook.

Menurut Kee Hiong hampir separuh daripada 899 jumlah keseluruhan ahli yang lahir pada Ogos hingga Disember menuntut baucar tersebut baru-baru ini.

“Pusat khidmat saya telah menyerahkan baucar Jom Shopping SMUE kepada 488 warga emas dan OKU pada minggu lepas,” katanya.

Semakan boleh dibuat melalui laman sesawang http://smue.yawas.my/admin/online_semakan.php.

Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah (B40) sebagai inisiatif jangka panjang bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Penyerahan bantuan disalurkan kepada komponen utama kaum di Selangor mengikut perayaan masing-masing.

 


Pengarang :