Selangorkini
Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) pada majlis simbolik penyerahan kad SIM percuma kepada Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Perancang) Musa Ismail di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar di Shah Alam pada 28 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih ramai pelajar bakal terima kad SIM percuma Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 12 NOV: Lebih ramai lagi pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) bakal menerima kad modul pengenalan pelanggan (SIM) disediakan Kerajaan Negeri.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata pihaknya memohon peruntukan SIM dari kuota kategori lain memandangkan inisiatif itu memberi manfaat besar kepada golongan pelajar.

“Kerajaan peruntukan 7,000 untuk peserta PTRS dan kami menambah lagi 2,500 yang diambil dari kategori penjaja kecil. Keseluruhan 9,500 pelajar terima kad SIM ini.

“Jadi kita lihat ada keperluan untuk tambah lagi dan diberi kepada pelajar. Mungkin kita ambil dari penjaja serta peruntukan untuk Ahli Dewan Negeri,” kata Ahmad Azri Zainal Nor kepada SelangorKini.

Pada 4 Ogos, Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menerima kad SIM dilengkapi data internet percuma selama 12 bulan.

Selain pelajar PTRS, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu menyasar peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor dan Universiti Selangor.

Turut menerima manfaat ialah pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor, peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.


Pengarang :