Selangorkini
Ahmad Azri Zainal Nor (kanan) menyerahkan tablet dan kad SIM Data Internet Selangor kepada lima beradik yatim piatu di Kampung Melayu Subang Tambahan, Shah Alam pada 2 November 2021. Bapa mereka Mohd Nasir Tahal, 46, meninggal dunia akibat Covid-19 pada 11 Ogos dan ibu Ida Haryanie Abdul Razak, 38, pada 7 Oktober selepas 64 hari bertarung nyawa. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih ramai pelajar Tuisyen Rakyat Selangor dapat kad SIM percuma

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri menambah 2,500 kad modul pengenalan pelanggan (SIM) untuk diagihkan secara percuma kepada pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS).

Inisiatif bawah Data Internet Selangor diberikan bulan ini selepas pengumpulan data pelajar selesai, kata ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

“Sebelum ini, seramai 7,000 pelajar PTRS menerima manfaat dan kita selesai mengagihkan kad SIM percuma kepada mereka,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Beliau ditemui selepas menyerahkan tablet berserta kad SIM percuma kepada lima beradik yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 di Kampung Melayu Subang Tambahan semalam.

Ahmad Azri Zainal Nor bercakap kepada media selepas menyerahkan tablet dan kad SIM Data Internet Selangor kepada lima beradik yatim piatu di Kampung Melayu Subang Tambahan, Shah Alam pada 2 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Ahmad Azri berkata pihaknya turut mengagihkan 5,000 kad SIM percuma kepada setiap Dewan Undangan Negeri untuk diberikan kepada penduduk yang layak.

Selain itu, katanya, MBI menyumbangkan komputer riba dan tablet bagi kegunaan mahasiswa serta pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

“MBI berharap wakil rakyat dapat menyampaikan terus kepada mereka yang layak sekiranya penerima tidak dapat hadir ke pusat khidmat masyarakat,” katanya lagi.

Pada 4 Ogos, Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menerima kad SIM dilengkapi data internet percuma selama 12 bulan.

Selain pelajar PTRS, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu menyasar peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor dan Universiti Selangor.

Turut menerima manfaat ialah pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor, peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.


Pengarang :