Aksi pemain bola sepak wanita Selangor. Foto Facebook Persatuan Bolasepak Selangor
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Liga super wanita Selangor cungkil bakat baharu skuad kebangsaan

PETALING JAYA, 21 NOV: Inisiatif Persatuan Bola Sepak Selangor menganjurkan Liga Super Wanita mampu membantu melahirkan pemain handalan untuk mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Ketua pasukan wanita kebangsaan Steffi Sarge Kaur Singh berkata kejohanan kompetitif seperti itu mampu menjadi platform bagi mencungkil bakat baru dan bersaing dengan pemain sedia ada.

“Kita banyak pemain bola sepak wanita berpotensi di Malaysia tetapi sukar dikesan kerana kejohanan terhad.

Ketua pasukan wanita kebangsaan, Steffi Sarge Kaur Singh ditemui selepas majlis pelancaran Liga Super Wanita yang disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Foto AMIN RIDZUAN ISHAK/SELANGORKINI

“Bila ada kejohanan seperti ini mereka dapat bermain dan tunjuk permainan baik yang mungkin boleh diserap ke skuad kebangsaan,” kata ketua pasukan MBSJ FC yang turut beraksi dalam kejohanan julung kali itu.

Majlis perasmian kejohanan disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Bagi jurulatih Radia Ladies Nor Nasrullah Nor Shahrudin, kejohanan itu memberi platform terbaik kepada pemain wanita beraksi di peringkat tinggi berbanding hanya dalam perlawanan persahabatan atau sosial.

“Bola sepak harus dimainkan semua orang bukan hanya dianggap sukan untuk lelaki sahaja, biarkan kalau wanita pun hendak sepak bola,” katanya.

 


Pengarang :