Selangorkini
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama wakil syarikat yang terlibat dalam Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) di Dewan Annex pada 29 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Lima syarikat terkemuka sertai projek Gerbang Maritim Selangor

SHAH ALAM, 29 NOV: Lima syarikat terkemuka bekerjasama menjayakan Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) dikendalikan anak syarikat milik Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Dato’ Menteri Besar berkata syarikat terlibat ialah Nestle (Malaysia) Berhad; Westports Malaysia Sdn Bhd; Dutch Lady Milk Industries Bhd; Berjaya Land Berhad dan The Ocean Cleanup.

Dalam sesi memperkenalkan syarikat tersebut, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kolaborasi melibatkan syarikat terbabit mampu merealisasikan hasrat Selangor untuk melestarikan Sungai Klang.

“Projek SMG bukan sahaja melibatkan pembersihan sungai dan pembangunan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer, tetapi tanah seluas 600 ekar yang boleh dibangunkan pada masa akan datang dalam masa sama mengekal dan mengawal persekitaran.

“Oleh sebab itu, idea kepelbagaian hayat (biodiversity) seperti penanaman bakau di pelabuhan utara, pembersihan sungai, ekonomi kitaran dan projek pemulihan plastik dikumpulkan dalam projek SMG,” katanya di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Amirudin juga menyifatkan kolaborasi kendalian Landasan Lumayan Sdn Bhd itu dapat meningkatkan dan menaikkan kualiti Sungai Klang.

Projek SMG adalah inisiatif Kerajaan Selangor yang memfokuskan kepada penjanaan semula Sungai Klang membabitkan kawasan seluas 35,612 hektar.


Pengarang :