Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika pembentangan Belanjawan #Selangor2022 di Dewan Negeri Selangor pada 26 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Majlis Industri Rel Selangor lonjak potensi sektor rel

SHAH ALAM, 26 NOV: Kerajaan Negeri menubuhkan Majlis Industri Rel Selangor bagi mengembangkan sektor itu sekali gus menjana ekonomi dan mencipta peluang kerja.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata industri berkenaan dilihat mempunyai potensi seperti aeroangkasa dan penubuhan majlis berkenaan mampu mengukuhkan sektor rel negeri ini.

“Majlis yang mengumpulkan kekuatan daripada 50 syarikat dengan tenaga kerja hampir 8,000 orang ini akan menjadikan industri rel sebagai tonggak yang memberikan impak besar kepada ekonomi negeri.

“Selain merancang dan merangka program pembangunan serta promosi industri rel, majlis ini berupaya mencipta peluang pekerjaan di Selangor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri berhasrat menjadikan Serendah di Hulu Selangor sebagai hab logistik untuk industri pembuatan kereta api dan komponen kapal terbang di Taman Pembuatan Nilai Tinggi UMW.

“Pengkelasan ini juga bertepatan dengan kedudukan istimewa Serendah dalam Rancangan Malaysia ke-12 yang menyaksikan bidang aeroangkasa serta logistik untuk menjana ekonomi baharu negara,” katanya.


Pengarang :