Ketua Pegawai Operasi Dr Tuna Sdn Bhd Khartini Isa bersama Ketua Pegawai Eksekutif Azanizam Aminudin (kiri) dan Ketua Penyelia Muhammad Noor Imran Mohd Yazid menunjukkan produk mereka pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 21 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Manfaat penganjuran ekspo Selangor, perkenal sate tuna sirip kuning

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Sebuah syarikat tempatan menampilkan kelainan dengan mempromosi sate tuna sirip kuning di Ekspo Selangor Antarabangsa (SIE) makanan dan minuman (F&B) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketua Pegawai Operasi Dr Tuna Sdn Bhd Khartini Isa berkata peluang diberikan Kerajaan Negeri di ekspo yang menjadi sebahagian acara Sidang Kemuncak Perniagaan (SIBS) 2021 itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempromosikan makanan itu.

“Saya menerima jemputan untuk menyertai ekspo ini kerana tahu wujud peluang untuk meluaskan rangkaian perniagaan ke peringkat lebih luas dengan kelebihan yang ada pada produk ini seperti tinggi dengan protein.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana beri peluang kepada usahawan tempatan dan menyediakan platform seperti ini,” katanya.

SIE (F&B) 2021 sebahagian program SIBS 2021 yang berlangsung selama empat hari bermula 18 November dan dianjurkan secara hibrid.

Sebanyak RM11 juta diperuntuk meliputi pembangunan dan penyelenggaraan portal perniagaan, selain pemasaran dan pembangunan bagi sembilan acara utama.

Acara diadakan termasuk Persidangan Perniagaan Asean Selangor, Konvensyen Digital Ekonomi dan Bandar Pintar Selangor serta Ekspo Selangor Penyelidikan dan Pembangunan dan Inovasi 2021.


Pengarang :