Selangorkini
EXCO Generasi Muda, Mohd Khairuddin Othman (tengah) menyampaikan sumbangan toto kepada mangsa terjejas banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan MPAJ Pinggiran 3, Ampang pada 25 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Mangsa banjir Bukit Belacan, Ampang terima bantuan toto

AMPANG, 25 NOV: Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menyumbang 300 unit toto kepada keluarga terjejas banjir di Kampung Lembah Jaya Utara, Bukit Belacan di sini hari ini.

EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata bantuan bernilai RM30,000 itu diserahkan kepada Sukarelawan Selangor (SERVE) untuk diagih kepada mangsa terbabit dalam insiden pada Isnin lalu.

“Diharap bantuan ini dapat mengurangkan beban mereka kerana banjir yang dikatakan terburuk selepas 2012 mengakibatkan banyak barang di rumah mangsa rosak.

“Kita juga difahamkan mereka memerlukan bantal dan selimut. Insya-Allah, MSN Selangor akan cuba bantu keperluan ini demi menjamin keselesaan mangsa,” katanya pada misi bantuan banjir SERVE di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan MPAJ Pinggiran 3 di sini.

EXCO Generasi Muda, Mohd Khairuddin Othman (tengah) menyampaikan sumbangan toto kepada Sukarelawan Selangor (SERVE) untuk diagih kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan MPAJ Pinggiran 3, Ampang pada 25 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Hadir sama, Pengarah Eksekutif MSN Selangor Mohamad Nizam Marjugi dan Presiden Penggerak Belia Selangor (PeBS) Muhammad Akmal Abdul Halim.

Sementara itu, Mohd Khairuddin memaklumkan seramai 16 daripada 240 keluarga masih terkandas di PPS terbabit berikutan kediaman mereka dipenuhi lumpur dengan kerja pembersihan giat dijalankan.

“Pejabat Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Lembah Jaya menyediakan makanan dan minuman mencukupi kepada mereka sejak hari pertama dipindahkan.

“Bantuan sama turut dihulurkan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Jabatan Kebajikam Masyarakat,” katanya.

Selain Ampang, daerah Gombak dan Hulu Langat turut dilanda banjir kilat selepas hujan lebat lebih tiga jam di Lembah Klang.

Susulan itu, Dato’ Menteri Besar mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT), KDEB Waste Management (KDEBWM) bersama PKM dan penyelaras DUN memberi bantuan kecemasan serta perpindahan.

Dato’ Seri Amirudin Shari juga menggerakkan Team Selangor dan SERVE membantu mangsa membersihkan rumah serta persekitaran.


Pengarang :