AGENDANASIONAL

Masalah teknikal diatasi, uji kualiti air sebelum bekalan disalur

SHAH ALAM, 20 NOV: Masalah teknikal paip agihan utama hingga bekalan air USJ 1 hingga USJ 27 di Petaling terjejas telah diatasi pada jam 4.30 petang tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan bagaimanapun ujian kualiti air sedang dijalankan bagi memastikan air terawat memenuhi piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum diagih kepada pengguna.

“Air Selangor terus menggerakkan lori-lori tangki bagi membantu para pengguna yang terjejas.

“Walau bagaimanapun, keutamaan penghantaran air melalui lori tangki adalah kepada hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian,” kata agensi itu di Facebook.

Maklumat terkini akan dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor.

Terdahulu, bekalan air kawasan USJ 1 hingga USJ 27 di Petaling yang terjejas berikutan insiden penurunan paras air di Kolam Air Sime UEP di Kampung Kenangan Puchong dijangka pulih sepenuhnya tengah malam ini.

Air Selangor dalam kenyataan memaklumkan insiden berlaku berikutan masalah teknikal atau ‘air lock’ pada paip agihan utama yang menyalurkan air ke kolam berkenaan.


Pengarang :