Penghantar barangan Seldec mengangkat beg selepas pelancaran portal Rantaian e-Bekalan Digital Selangor dan aplikasi Seldec Rider di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 24 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: 1,200 usahawan kecil, mikro sertai Seldec

SHAH ALAM, 30 NOV: Seramai 1,200 usahawan kecil dan mikro menyertai program Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) setakat ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata lebih 800 produk dijual dalam platform terbabit dengan purata jualan mencecah antara RM65,000 hingga RM100,000 sebulan.

“Semasa perayaan, pendapatan itu meningkat sebanyak 40 peratus. Ketika Aidiladha Julai lalu, pendapatan Seldec mencecah RM140,000 berikutan permintaan tinggi produk segar seperti ayam dan daging,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran berhubung jumlah orang yang menjual di platform Seldec pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Amirudin berkata sejumlah RM2.6 juta dibelanjakan bagi pembangunan Seldec yang dibiayai Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd (SIC) bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Beliau menjelaskan kos itu termasuk pembangunan portal Seldec dan operasi pemasaran.

“Seldec juga terima geran sekali (bayar) untuk pasaran dalam talian bernilai RM320,000 yang mana RM125,000 dibayar pada November tahun lepas dan baki Mac tahun ini,” katanya.


Pengarang :