Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) merasmikan Persidangan Keusahawanan Malaysia-China ke-11 pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 21 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: China kekal antara pelabur asing utama di Selangor

Oleh Nasuha Badrul Huzaini

KUALA LUMPUR, 21 NOV: China kekal sebagai salah satu pelabur utama di Selangor dengan lebih RM6 bilion pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan sejak 2015.

Dato’ Menteri Besar berkata sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia, pembabitan republik itu penting bagi pelaburan langsung asing (FDI) negeri.

“Sebilangan besar perniagaan dan pengilang berpangkalan di Selangor dan terdapat potensi besar serta ruang untuk penambahbaikan dalam hubungan Selangor-China.

“Selangor negeri paling maju dan menyumbang 24.3 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap sempena Persidangan Keusahawanan Malaysia-China ke-11 (MCEC) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini yang turut dihadiri EXCO Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim.

Turut serta Duta Besar Republik China ke Malaysia Ouyang Yujing dan Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Datuk Tan Yew Sing.

Sementara itu, Amirudin berkata tiba masanya Selangor mempercepat rancangan sebagai negeri pintar pertama di Asia Tenggara sekali gus membolehkan rakyat hidup berorientasikan teknologi.

“Selangor merancang menjadi negeri pintar pertama di rantau ini sejak 2016 dan idea itu membantu negeri menyesuaikan diri dengan keperluan mendesak Covid-19 melalui pendigitalan,” katanya.

MCEC 2021 diadakan sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021, yang bermula pada 18 November dan berakhir hari ini.


Pengarang :