Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) bersama calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Zamri Pakiri (dua, kiri) hadir ke kenduri doa selamat di Jalan Alor Utama, Alor Gajah pada 12 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

MB ke Melaka bantu persiapan calon HARAPAN bertanding PRN

ALOR GAJAH, 12 NOV: Dato’ Menteri Besar hari ini mengadakan lawatan ke Melaka bagi membantu persiapan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN).

Lawatan turun padang selama sehari Dato’ Seri Amirudin Shari ke negeri bersejarah itu membabitkan beberapa jadual padat sehingga malam ini.

Amirudin terlebih dahulu menyertai ratusan jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid Luqmanul Hakim, Sungai Petai di sini sebaik tiba pada jam 12.30 tengah hari.

Sebelum itu, beliau mendengar khutbah bertajuk ‘Pendidikan Anak-Anak Tanggungjawab Ibu Bapa’ yang disampaikan Pembantu Hal Ehwal Islam masjid Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia Khairil Azuan Azmi.

Usai solat Jumaat, beliau menghadiri kenduri doa selamat di kediaman bekas Penyelia Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah Safri Shafie di Jalan Alor Utama.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (duduk, dua kiri) mendengar khutbah yang disampaikan oleh Pembantu Hal Ehwal Islam, Imam Masjid DUN Rembia Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Khairil Azuan Azmi di Masjid Luqmanul Hakim, Sungai Petai, Alor Gajah, Melaka pada 12 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Amirudin meluangkan masa kira-kira 30 minit bertemu calon DUN Rembia Zamri Pakiri yang turut serta dalam acara tersebut.

Beliau kemudian menghadiri taklimat bersama jentera Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di Bilik Gerakan DUN Rembia.

Amirudin dijadual menyertai program ‘Ngeteh Felda Bukit Senggeh’ di sebuah kafe yang terletak bawah DUN Asahan pada jam 5 petang.

Pada sebelah malam, beliau dijangka menyertai program santai sempang kerayong di Warung Pelita Kak Liza Sempang Kerayong.

Beliau dijadual mengakhiri lawatan di Melaka dengan mengadakan pertemuan bersama calon DUN Sungai Rambai Farzana Hayani di Balai Raya Kampung Sebatu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November.

Ia susulan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap ketua menteri.

Melaka yang mempunyai 28 kerusi DUN memiliki seramai 495,195 pengundi berdaftar.


Pengarang :