Orang ramai melawat gerai pameran sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 pada 18 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Kerja keras rakyat Selangor sumbang kejayaan ekonomi negeri

Oleh Alang Bendahara

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Usaha keras penduduk Selangor antara penyumbang kepada kejayaan ekonomi negeri, kata Dato’ Menteri Besar Dato’Seri Amirudin Shari.

Menurut beliau Selangor menyumbang lebih 20 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dengan sebilangan besar syarikat multinasional mempunyai pangakalan di negeri ini.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha dan kerja keras rakyat Selangor yang memiliki wawasan untuk memajukan diri.

“Ia telah menjadi sebahagian daripada budaya dan identiti Selangor serta usaha ekonomi negeri yang direka untuk memudahkan, membolehkan dan memupuk semangat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Perniagaan Asean Selangor (SABC) kelima 2021, di sini hari ini.

Amirudin berkata, falsafah dan budaya yang sama turut diamalkan di peringkat serantau.

“Saya percaya falsafah ini konsisten dalam konteks Komuniti Ekonomi Asean (AEC),” katanya.

Bagaimanapun, Amirudin berkata penduduk negeri ini perlu sentiasa menyesuaikan diri terutama dalam era pasca pandemik.

“Gangguan global disebabkan wabak menunjukkan kepada kita perubahan bukan sahaja untuk terus bertahan malah terus berkembang maju.

“Kami telah hidup dalam dunia yang begitu banyak turun naik, ketidakpastian, kerumitan dan kekaburan yang mengelilingi ekonomi, perniagaan dan orang ramai sehingga mustahil untuk kekal sama sejak beberapa dekad lalu.

“Untuk berkembang maju dalam persekitaran ini, kita perlu tangkas dalam pemikiran, anjal dalam pelaksanaan, sambil berpegang teguh pada nilai-nilai murni,” katanya.

SABC berlangsung dalam Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Pada tahun ini, persidangan berlangsung selama empat hari itu diadakan mengikut format hibrid secara fizikal dan dalam talian susulan pandemik Covid-19.


Pengarang :