Dato’ Seri Amirudin Shari meluangkan masa menyantuni dan mendengar permasalahan warga nelayan di Pengkalan Nelayan Sungai Kertah pada 14 November 2021 dalam program lawatan beliau sempena Pilihan Raya Negeri (PRN). Foto ASRI SAPFIE/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB luang masa dengar keluhan nelayan di Sungai Kerteh

PENGKALAN BALAK, 14 NOV: Persatuan Nelayan Melaka Barat mengambil peluang menyuarakan keluhan kepada Dato’ Menteri Besar ketika sesi lawatan ke Melaka dalam membantu persiapan calon Pakatan Harapan (HARAPAN).

Kehadiran Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhammad disambut calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara Zainal Hassan.

Amirudin yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor meluangkan masa kira-kira 30 minit bersama beberapa nelayan di Pengkalan Nelayan Sungai Kertah di sini.

Beliau kemudian meneruskan lawatan ke Warung Tok Jaafar bersama calon DUN Sungai Udang Hasmorni Tamby.

Lawatan Amirudin ke negeri bersejarah itu adalah membantu persiapan calon HARAPAN yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN).

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Barat Ab Samad Ab Malik,59, mewakili nelayan berharap parti yang diberi mandat oleh rakyat dapat membela nasib golongan tersebut.

“Kita mempunyai lebih 300 nelayan tetapi tidak mendapat pembelaan sewajarnya berbanding pemancing.

“Tidak kira parti mana sekalipun pertimbang dan utamakan nelayan yang hanya bergantung nasib dengan turun ke laut sahaja,” katanya.

Zainal berdepan dengan dua pencabar dalam pertarungan tiga penjuru pada PRN 20 November menentang Datuk Seri Ab Rauf Yusoh daripada Barisan Nasional (BN) dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin daripada Perikatan Nasional (PN).

Manakala Hasmorni berdepan pencabar Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad daripada (BN), Dr Mohd Aleef Yusof (PN) dan Mohd Zahar Hashim (Bebas).


Pengarang :