Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Perhimpunan Penjawat Awam di Auditorium Dewan Jubli Perak Bangunan SUK, Shah Alam pada 8 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Pelaburan kilang kertas di Kuala Langat sedia peluang kerja

SHAH ALAM, 8 NOV: Kuala Langat akan menempatkan tiga pemain pembuatan kertas terkemuka di dunia dengan pelaburan sehingga RM4 bilion yang bakal memanfaatkan penduduk setempat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaburan dari dua syarikat China dan satu Jepun itu akan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar dan meletakkan Selangor di peta dunia dalam bidang berkenaan.

Menurutnya, proses pembangunan kilang itu akan dapat dilihat menjelang suku pertama tahun hadapan yang prosesnya sebelum ini berdepan kekangan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya percaya sekarang prosesnya mudah dan kita dapat percepatkan proses pembangunannya,” katanya selepas majlis perhimpunan penjawat awam di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Sebelum ini, EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim dilaporkan berkata kilang pembuatan kertas berkeluasan keluasan 32 dan 53 hektar itu dijangka dibina di Banting.

Jelasnya, syarikat terbabit akan mematuhi ketetapan Jabatan Alam Sekitar dan bahan buangannya diurus mengikut Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.


Pengarang :